Bengkel Latihan Juruaudit

UMP Gambang, 18 Nov 2015. Seramai 18 orang pensyarah dan staf UMP telah menghadiri Bengkel Latihan Juruaudit Program Profesional UMP anjuran UMP Advanced Education yang diadakan di Bilik Seminar, Perpustakaan pada 18 November 2015. Program bertujuan memberi latihan proses audit kualiti program profesional UMP kepada semua juruaudit sedia ada dan baru yang terlibat dengan audit akademik, audit pembelajaran dan pengajaran (P&P) dan audit pengurusan dan pengijazahan yang akan dilaksanakan oleh pihak UMP Advanced Education.

Bengkel disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Unit Jaminan Kualiti, Pusat Inovasi & Daya Saing Akademik, UMP, Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed, Pengarah, Institute Professional Development (IPD) OUM, Prof. Madya Yon Rosli Daud dan Pengurus Kanan Institute Professional Development (IPD) OUM, Puan Rohaya Ali. Secara dasarnya, bengkel selama satu hari ini adalah untuk memastikan tahap kualiti akademik program yang ditawarkan oleh rakan kerjasama adalah menepati standard yang ditetapkan di samping dapat mendedahkan amalan terbaik bagi jaminan kualiti yang dilaksanakan oleh Institute Professional Development (IPD) OUM.

Rumusan mengenai bengkel disampaikan oleh Penasihat Akademik UAE, Prof. Dr. Abdullah bin Ibrahim yang menyatakan perkara mengenai jaminan kualiti berkaitan program PSH ini akan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti program profesional adalah memenuhi standard yang ditetapkan. Semoga melalui bengkel ini dapat menyemarakkan lagi program PSH di samping memperluas akses pendidikan kepada umum dan meningkatkan kualiti program PSH dalam memenuhi Lonjakan 3: Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

b1   b2

b3 b4 b5

 

 

 

 

Print